Dalam konvoi sehari itu, para peserta berkenaan akan berhenti di beberapa destinasi seperti Pusat Koreksional di Kok Klang, Chuping, Pusat Serenti Bukit Chabang dan juga di Gua Kelam.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man melepaskan konvoi berkenaan.
Pada sidang media selepas majlis itu, Azlan berharap dengan penglibatan belia di dalam konvoi itu akan berupaya untuk mendidik mereka menjadi generasi yang berdisiplin dan berhemah apabila berada di jalan raya.
“Sekalipun program ini menyeronokkan tetapi belia perlu melihat daripada segi matlamat baiknya yang mahukan golongan ini supaya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata, golongan belia juga akan sedar supaya tidak akan terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah, merempit atau jenayah yang mengundang kepada masalah negara.
Katanya, kadar kemalangan yang meningkat juga perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak supaya setiap diri masing-masing tahu menghargai nyawa sendiri apabila berada di jalan raya sekali gus turut menyelamatkan nyawa orang lain.