Powered by Blogger.

Niaga hadapan emas diunjur lemah minggu depan


KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif diunjur lemah minggu depan berikutan ketidaktentuan krisis hutang Greece yang berlanjutan biarpun dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh, kata peniaga. "Para pelabur akan memberi tumpuan terhadap keputusan pungutan suara mengenai jalan penyelesaian hutang Greece pada hujung minggu ini," kata peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Dealer, Leo Goh Boon Haoama. Sementara itu, firma penyelidikan Belanda, ABN AMRO Group Economics pula menjangkakan harga emas terus lemah sehingga tahun depan berikutan kenaikan kadar faedah AS dan dolar yang mengekang kenaikan harga logam berharga itu. Menurut firma penyelidikan itu, kenaikan kadar faedah itu menjadikan pelaburan logam berharga sebagai aset tidak menarik kerana tidak menguntungkan manakala peningkatan dolar AS pula hanya memberi tekanan terhadap harga logam berharga itu. "Berdasarkan situasi sedemikian, adalah dijangkakan pelabur akan melepaskan pegangan terhadap logam berharga itu," katanya. Tambahan pula, emas memiliki permintaan industri yang rendah. Namun, katanya, permintaan emas di China, khususnya barang kemas, diunjur pulih yang menjejaskan aliran penurunannya. Bagi minggu dagangan yang baharu berakhir, emas didagangkan rendah berikutan kegagalan rundingan antara Greece dan pihak pemiutangnya. Kontrak Julai 2015, Ogos 2015 dan September 2015 masing-masing susut enam mata kepada RM142.20, RM142.60 dan RM142.05 segram manakala Oktober 2015 turun empat mata kepada RM143.55 segram. Jumlah dagangan mingguan sebanyak 345 lot bernilai RM4.913 juta daripada 683 lot bernilai RM9.74 juta, pada minggu lepas. Kepentingan terbuka pada Jumaat susut kepada 1,353 kontrak daripada 1,851 kontrak, sebelum ini.

0 Komentar untuk "Niaga hadapan emas diunjur lemah minggu depan "

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info