Powered by Blogger.

Tak sempat capai Nurhasyikin dalam buaian


KOTA KINABALU: "Pada mulanya saya terfikir akan kehilangan Nurhasyikin buat selama-lamanya, namun Allah lebih berkuasa dan bersyukur bayi saya masih hidup." Itu luahan Nurhayba Nasip, 25, ibu kepada kepada Nurhasyikin Jainudin, bayi berusia 18 bulan yang terselamat selepas diterbangkan ribut bersama buaiannya di Kampung Dungang Dua, Tuaran, malam kelmarin. Ketika kejadian jam 12.15 malam itu, bayi terbabit ditemui selamat di kawasan sawah di kampung berkenaan selepas bumbung rumahnya bersama buaian yang diikat pada alang bumbung diterbangkan angin. Menceritakan kejadian itu, Nurhayba ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas hari ini berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu diletakkannya dalam buaian seperti biasa sebelum ribut melanda kawasan kampung berkenaan. "Tiba-tiba berlaku angin kencang yang menerbangkan bumbung rumah, saya cuba mengambil Nurhasyikin dalam buaian itu tetapi tidak sempat apabila ia turut diterbangkan bersama bumbung rumah. "Kami kemudian bersama penduduk kampung mencari Nurhasyikin sebelum dia ditemui sedang menangis dalam kawasan sawah padi kira-kira setengah jam kemudian," katanya. Beliau berkata, bayinya itu kemudian segera dibawa ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan sebelum disahkan patah paha dan dipindahkan ke HWKKS dengan keadaannya dilaporkan stabil. NURHAYBA Nasip bersama bayinya, Nurhasyikin Jainudin yang terselamat selepas diterbangkan ribut bersama buaiannya di Kampung Dungang Dua, Tuaran, malam kelmarin. 

0 Komentar untuk "Tak sempat capai Nurhasyikin dalam buaian "

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info