KUALA LUMPUR – Penggunaan rokok elektronik atau vape adalah berbahaya disebabkan kandungan nikotin yang terkandung di dalam cecairnya.
Pakar Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok di Pusat Pakar Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata lebih membimbangkan apabila penjual membancuh sendiri cecair mengikut permintaan pelanggan tanpa mengetahui isi kandungannya.
“Belum ada bukti mengatakan vape selamat digunakan dan kita risau apabila penjual membancuh cecair tersebut tanpa pengetahuan akan memberi kesan kesihatan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Pencegahan dan Rawatan 2015 (ICAPT 2015) di sini, hari ini.
Justeru, Dr Amer Siddiq berkata penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan vape adalah perlu untuk mengelakkan orang ramai khususnya golongan remaja memulakan tabiat merokok.
Katanya, meskipun ramai beranggapan vape membantu perokok tegar untuk berhenti merokok, namun disebabkan warna dan kepelbagaian rasa yang ditawarkan, vape juga menarik golongan bukan perokok untuk mencubanya.
ICAPT 2015 yang bermula semalam bertindak sebagai pentas perbincangan kepada permasalahan dadah dan yang berkaitannya serta kaedah rawatan yang diperlukan.
Ia disertai pihak bertanggungjawab seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, para pensyarah dan penyelidik tempatan dan antarabangsa.
https://youtu.be/5_7fgoIARvc
0 Komentar untuk "Cecair Rokok Elektronik Berbahaya "