Powered by Blogger.

Dakwaan Temui MH370: Polis Tunggu Maklumat Lanjut Filipina

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan penemuan bangkai pesawat yang berkemungkinan MH370 di selatan Filipina.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak Filipina sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi bangkai pesawat itu dikatakan ditemui.
“Setakat ini kita tidak dapat sahkan apa-apa lagi dan mereka (pihak berkuasa Filipina) kata akan semak dan periksa.
Ia mungkin mengambil masa kira-kira sehari atau dua hari untuk mereka memaklumkan kepada kita,” katanya kepada pemberita pada penutup satu kejohanan sukan di sini hari ini.
Khalid mengulas laporan polis yang dibuat seorang lelaki bernama Jamil Omar di Balai Polis Sandakan yang mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal September lepas.
Dalam laporan itu, lelaki berkenaan turut mendakwa wanita itu menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178sm panjang dan 89sm lebar.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Mengulas lanjut, Khalid berkata laporan yang dibuat pengadu itu tidak disertakan sebarang gambar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sentiasa menjalankan operasi di sempadan dan turut menjalinkan kerjasama dengan negara jiran dalam mengekang sebarang aktiviti penyeludupan termasuk senjata.
Beliau mengulas kes bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah yang mati ditembak di rumahnya Jumaat lepas. Motif kejadian masih dalam siasatan. 

0 Komentar untuk "Dakwaan Temui MH370: Polis Tunggu Maklumat Lanjut Filipina"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info