Powered by Blogger.

Cemburu berlebihan-Gen Y

Cemburu tidak tentu pasal antara punca utama menyebabkan keruntuhan dalam hubungan. HAZRIL MDNOR meneliti perkara yang menyebabkan lelaki dan wanita berasa cemburu serta bagaimana cara mengatasinya. Lelaki dan wanita masing-masing perlu mengurangkan rasa cemburu buta untuk selamatkan hubungan percintaan.
Cemburu adalah aspek negatif yang ada dalam setiap pasangan kekasih. Mana tidaknya, perasaan cemburu muncul kerana rasa sayang kepada pasangan dan komited untuk memberikan yang terbaik pada pasangan.
Contohnya, apabila sudah ada rasa sayang, pasti seseorang itu mahu menjaga serta berkongsi semua masalah dan saat bersama pasangan hingga kadang-kadang pasangan menjadi cemburu berlebihan, sama ada tidak tentu pasal atau tidak bertempat sehingga wujud rasa tak selesa kepada pasangan mereka.
Justeru, perlukah rasa cemburu tidak bersebab sehing­ga boleh mengeruhkan hubungan? Rasanya jika kita hendak meneruskan perhubungan, perlu ada persefahaman dan elakkan sikap negatif yang boleh melunturkan perasaan cinta.
Misalnya, sama ada lelaki atau wanita, anda perlu amalkan tolak ansur dan berbincang bagi mencari jalan untuk mengurangkan rasa cemburu antara satu sama lain. Bagi mengukuhkan perhubungan, perlu ada persefahaman, perlu faham gaya hidup pasangan sepenuhnya. Gen Y ada caranya untuk anda hilangkan rasa cemburu.
Wanita perlu faham
Menurut statistik hasil kajian oleh Woman's day dan AOL Living membabitkan 2,000 wanita, 73 peratus wanita mengaku berasa cemburu berbanding 27 peratus lelaki. Kajian itu juga menunjukkan 63 peratus wanita yang belum berpasangan berasa cemburu dengan ­sahabat mereka yang sudah berkahwin. Ia menunjukkan wanita lebih cenderung cemburu berbanding lelaki.
Fakta sama turut disuarakan pengarang kanan laman web Huffington Post, Emma Gray dengan menyatakan wanita akan cemburu apabila mendapati 'pesaingnya' mempunyai lebih daya tarikan berbanding dirinya.
Katanya, wanita tidak akan berdiam diri, lebih-lebih lagi apabila pesaingnya seseorang yang berkerjaya atau lebih berjaya berbanding dirinya dalam bidang akademik dan kerja.
Namun, anda sebagai wanita perlu kurangkan rasa cemburu untuk selamatkan perhubungan dan bagi memastikan si dia setia dengan anda, hapuskan rasa cemburu sebaliknya berusaha memahami hati budinya dengan lebih mendalam.
Biasanya rasa cemburu selalu datang beriringan dengan curiga. Jika anda seorang yang sering berfikir negatif, maka perlu lapangkan minda ketika perasaan itu datang, jangan terus menerjah tanpa usul periksa dan lemparkan jutaan soalan kepadanya. Ia membuatkan pasangan anda rimas, sebaliknya berusaha memberikan masa dan ruang kepada diri anda untuk bertenang.
Ketika meluangkan masa berseorangan itu, ­tanya kepada diri apa silapnya sehingga timbul rasa cemburu dan cari jalan untuk ­mengatasinya. Ta­nyakan kepada diri apa akibatnya jika anda tersilap kerana perlu ingat, ­cemburu buta tanpa sebab munasabah boleh membuatkan hubungan putus.
Jika tidak suka dengan pasangan anda yang terlalu mementingkan kerja hingga tiada masa untuk anda, perlu difikirkan juga pasangan anda perlu bertanggung­jawab dan membina kerjayanya yang dia sayangi. Itu bukan dia tidak mahu melayani anda.
Anda sebagai wanita yang sering cemburu, perlu berfikiran terbuka dan mencari jalan untuk mengatur perjumpaan dengannya selagi ada masa terluang. Mungkin dalam seminggu anda boleh aturkan dua kali perjumpaan dan jika tiada peluang kerana sibuk, gunakan cara lain seperti melalui laman sosial, pesanan teks atau panggilan telefon.
Sebagai wanita, anda tidak boleh terlalu cemburu jika ternampak pasangan anda berjumpa dengan wanita lain kerana kemungkinan wanita itu hanyalah rakan sekerja, saudara-maranya yang anda tidak kenal atau mereka yang mempunyai urusan berkaitan kerja.
Bagi wanita yang cenderung mengongkong, sikap itu merimaskan lelaki. Bayangkan tindakan anda seolah-olah diperhati orang lain dan dia pastinya rimas.
Anda harus percayakan pasangan kerana saling percaya aspek penting dalam hubungan. Sekiranya pasa­ngan sanggup meluangkan masa dengan anda berbanding rakannya, itu menunjukkan hanya anda dalam hatinya. Justeru, jika anda benar-benar kenal pasangan, anda sendiri boleh tentukan sama ada dia ikhlas atau tidak, curang atau tidak.
Kurangkan rasa cemburu
Bagi lelaki, cemburunya lain kerana biasanya lelaki akan menyiasat siapa yang berjumpa dengan pasangannya. Bagi mereka, si wanita lebih mudah 'cair' kepada lelaki kacak, justeru ia mencabar ego mereka. Namun, sebagai lelaki, langkah terbaik ialah yakin kepada pasangan bahawa mereka boleh menahan godaan lelaki lain.
Hanya anda yang mengenali pasangan anda, justeru anda boleh menilai sejauh mana kuatnya cinta dan keteguhan kesetiaan si dia.
Jika anda sering melihat si dia bersama kawan lelaki, hilangkan tanggapan bahawa si dia mungkin tergoda dengan lelaki itu walaupun lelaki itu kacak. Mungkin lelaki itu kawan baiknya dan mereka berjumpa hanya sebagai kawan.
Anda boleh menilai perwatakan pasangan ketika melayan lelaki itu, sama ada dia melayan lelaki itu lebih daripada kawan atau tidak. Ada sesetengah wanita mudah mesra dengan semua orang tetapi itu tidak bermakna dia curang kerana itu sememangnya sifat dia.
Sebagai lelaki, anda perlu kurangkan rasa cemburu dan tunjukkan kuasa 'dominan' anda. Mungkin si dia mengharapkan perhatian, justeru ambil masa walaupun sekejap untuk menegurnya, sama ada melalui laman sosial, pesanan teks atau panggilan telefon walaupun anda sibuk. Itu membuatkan si dia merasakan dirinya dihargai.
Memetik kenyataan laman web AskMen, antara cara mengatasi sifat cemburu lelaki ialah mencari sumber yang betul untuk mendapatkan kepastian. Contohnya, buat rujukan dengan teman rapat bagaimana boleh ada rasa cemburu dan cara mengatasinya. Cari rakan baik yang mempunyai pengalaman dalam percintaan kerana ia lebih efektif menyelesaikan masalah anda.
Cuba lakukan sesi dengan diri sendiri, contohnya tanya apa kesalahan anda yang memungkinkan perasaan cemburu itu datang. Mungkin kerana perangai atau tugas di pejabat menyebabkan anda selalu sibuk sehingga tiada masa terluang bersamanya.
Kuncinya, turunkan ego dan sentiasa berusaha meluangkan masa untuk bersamanya.
0 Komentar untuk "Cemburu berlebihan-Gen Y"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info