Kuala Lipis: Tiga beranak terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 92, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, 2.05 pagi tadi.
Mangsa maut adalah pemandu MPV berkenaan, Nik Zainuddin Nik Mohamad, 58, isterinya, Wan Akmaa Lailee Wan Aziz, 54 dan anak mereka, Nik Lyana, 19.
Seorang lagi anak mangsa, Ahmad Bahari, 15, cedera parah.
Semua mangsa berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila Zainuddin yang memandu MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur.
"Namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh bas.
"Akibatnya, tiga daripada empat beranak itu maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi parah.Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi,di sini.
Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dan parah dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan.
"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kota Bharu membawa 42 penumpang dan pemandu serta penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
0 Komentar untuk "Yatim piatu sekelip mata"