Powered by Blogger.

PELIK!!! Salah Guna Antibiotik ‘Lahirkan’ Superbug

KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan antibiotik bakal mewujudkan keadaan di mana kuman atau bakteria dalam tubuh manusia menjadi lebih kebal atau digelar ‘superbug’ dalam istilah kesihatan.
Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia (MDC), Dr. Muhammad Hakim Nordin berkata isu penyalahgunaan antibiotik bukanlah baharu namun ia perlu diberi perhatian serius dan dibendung oleh semua pihak.
“Fenomena ini memang sudah dijangka terutamanya di kalangan komuniti yang kini menuju ke arah menjadi negara maju. Ini dapat dilihat dalam trend sejarah banyak negara-negara lain seperti United Kingdom dan Ireland.
“Antara faktor penyumbang ke arah fenomena ini adalah persepsi masyarakat itu sendiri yang beranggapan bahawa rawatan antibiotik berkesan untuk semua penyakit.
Lantaran itu, sebahagian masyarakat turut memberi tekanan kepada doktor agar memberikan preskripsi antibiotik,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya pada Isnin lepas yang dilaporkan sebagai berkata bahawa penggunaan antibiotik secara tidak betul semakin serius.
Ia membimbangkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, ekoran kesan ubat itu selama ini dianggap menjadi kebal daripada melawan penyakit.
Hilmi berkata antibiotik merupakan ubat yang banyak menyelamatkan nyawa pesakit daripada jangkitan bakteria serius, namun sering disalahgunakan untuk mengubati penyakit yang tidak memerlukannya.
Kata beliau, akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu, keberkesanan antibiotik untuk mengubati penyakit atau jangkitan semakin berkurangan kerana jangkitan yang disebabkan oleh bakteria sering kali gagal bertindak balas terhadap rawatan standard.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Hakim berkata masyarakat perlu tahu bahawa kebanyakan penyakit berjangkit seperti selesema, batuk, bersin, demam biasa, cirit-birit, dan muntah-muntah adalah daripada virus dan bukannya kuman.
“Untuk jangkitan virus, antibiotik bukan sahaja tidak berguna, malah tiada peranan langsung. Pesakit mungkin hanya akan mendapat kesan sampingan… dan apabila badan didedahkan berkali-kali dengan dos antibiotik yang tidak perlu, kuman-kuman lain dalam badan akan bertindak balas dengan memperkuatkan biologi mereka sehingga akhirnya kuman ini kebal terhadap antibiotik.
“Pada masa akan datang, mereka yang sering kali terdedah kepada pengambilan antibiotik tidak terkawal dan tidak diperlukan badan mungkin tidak akan memberikan respon lagi terhadap antibiotik dan seterusnya memerlukan antibiotik yang lebih kuat dan lebih mahal kosnya,” katanya.
Dr. Muhammad Hakim berkata contoh mudah yang boleh dilihat hasil daripada penyalahgunaan antibiotik ialah peningkatan kes-kes bakteria kebal seperti methicillin resistant staphylococcus aureus (mrsa) serta vancomycin-resistant staphylococcus aureus(vrsa).
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar para doktor tidak akur pada permintaan pesakit sebaliknya bertanggungjawab menerangkan dan mendidik mereka akan akibat penyalahgunaan antibiotik sebagai usaha membendung perkara itu daripada menjadi semakin buruk.
Beliau turut tidak menyangkal kemungkinan pelbagai persepsi atau masyarakat akan melabelkan sesebuah klinik atau hospital sebagai tidak bagus sekiranya permintaan mereka untuk mendapatkan antibiotik tidak dipenuhi.
Dr. Muhammad Hakim turut menegaskan bahawa antibiotik bukanlah sejenis ubat yang mudah dibeli melalui kaunter klinik atau farmasi sebaliknya perlu mendapatkan kebenaran dan preskripsi daripada doktor.
0 Komentar untuk "PELIK!!! Salah Guna Antibiotik ‘Lahirkan’ Superbug"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info