Powered by Blogger.

SEBARKAN!!! Vape Bukan Untuk Dicuba, Jangan Cari ‘Penyakit’

KUALA LUMPUR – Bagi mereka yang tidak pernah merokok tetapi teringin juga hendak menghisap rokok elektronik atau vape, tidak perlulah mencubanya, demikian menurut seorang perokok yang juga pengguna vape.
“Kenapa nak cuba? Rokok atau vape tak bagi faedah pun, bukan sedap pun. Vape dijadikan alternatif oleh perokok. Rokok atau vape, kalau terjebak, susah nak buang penyakit (tabiat) ni,” kata Zulkifli Zin, 32.
Isu rokok elektronik atau vape begitu hangat diperkatakan akhir-akhir ini, bahkan menimbulkan polemik. Pada awal bulan ini, Kementerian Kesihatan mewajibkan cecair elektronik yang mengandungi nikotin didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.
Menerusi penguatkuasaan peraturan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata cecair elektronik hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar, selain perlu direkodkan.
Kesannya, penjual tidak berdaftar serta pengguna vape yang mengandungi nikotin akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.
Peningkatan mendadak penggunaan vape, melibatkan kira-kira sejuta pengguna, di negara ini meletakkan Malaysia pada tangga kedua paling tinggi di dunia selepas Amerika Syarikat. Pastinya ini suatu hal yang membimbangkan.
Tak perlu jadikan alasan
Menceritakan pengalamannya merokok sejak 13 tahun lalu, Zulkifli, yang bertugas sebagai wartawan foto bebas, berkata selain bahan bacaan, mungkin cerita-cerita mengenai vape dengan pelbagai perisa membuatkan orang ramai tertarik.
“Memang ada yang manis, lemak dan macam-macam. Tapi tak perlu jadikannya alasan untuk mencuba. Saya ‘terjebak’ dengan rokok ketika muda lagi,” katanya.
Beliau, yang menggunakan vape sejak dua tahun lalu, berpendapat selain kadar kecil nikotin, perokok memilih vape sebagai alternatif kerana ia tidak mengeluarkan bau busuk berbanding rokok, menjadikan suasana persekitaran lebih selesa berbanding asap dan bau rokok.
“Perokok pun tak suka bau rokok melekat pada pakaian. Pengguna vape tidak berdepan masalah itu kerana vape ada bermacam-macam perisa seperti vanilla, epal, butterscotch serta perisa macam kek, sehingga boleh menyebabkan orang sekeliling rasa lapar sebab baunya enak,” kata Zulkifli berjenaka.
Vape menjimatkan
Zulkifli mengakui vape menjadi pilihan kerana perbelanjaan harian lebih murah berbanding rokok, walaupun kos permulaan bagi kit vape agak tinggi iaitu sekitar RM150 hingga RM300.
“Sebotol E-liquid vape bersaiz 30ml adalah antara RM30 dan RM40, boleh digunakan setiap hari selama seminggu berbanding RM119 bagi rokok, berdasarkan harga RM17 sekotak sehari,” jelasnya.
Berpendapat kerajaan sewajarnya mengkaji penggunaan vape terlebih dahulu sebelum melaksanakan peraturan baharu dengan mendadak, beliau berkata: “Jika soal nikotin atau kanser, semestinya rokok lebih memudaratkan berbanding vape.”
“Negara ini sangat dikenali dalam dunia vape kerana terdapatnya beberapa E-liquid dan mod (bahagian sumber tenaga vape) premium buatan Malaysia yang terkenal dan menjadi rebutan golongan vapor di luar negara,” kata Zulkifli, yang sering bertugas di luar negara.
Bukan untuk suka-suka
Vape atau apa juga seumpamanya bukanlah suatu trend ikutan kerana menurut Zulkifli: “Ia bukan semudah yang dilihat. Nak guna vape kena ada ilmu. Mesti belajar cara nak kendali pengawal elektroniknya, cara servis dan macam-macam lagi bagi mengekalkan prestasi dan keselamatan. Bukan soal suka-suka.”
Seorang jurutera teknologi maklumat, Mohd Shazwan Abdul Aziz, 37, yang bukan perokok pula berpendapat kerajaan sewajarnya menyedari implikasi daripada vape sejak awal kerana isu rokok elektronik dan vape bukanlah baharu di negara ini.
(Pada Januari 2013, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa penjualan rokok elektronik bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.)
Mohd Shazwan berpendapat langkah KKM memberi lebih perhatian terhadap penjualan dan penggunaan vape sebagai usaha mengawal golongan bawah umur dan pelajar daripada turut terlibat.
Menurut pengamatannya, mereka yang menggunakan vape mungkin mahu dilihat sebagai ‘sophisticated’ atau ‘cool’ berbanding rokok yang penggunanya dianggap ‘orang biasa’.
“Ia berkaitan psikologi, tanggapan dan mungkin masalah keyakinan diri. Selain itu, vape yang kononnya pengganti kepada ketagihan rokok itu bukan saja lebih murah malah dirasakan bergaya, justeru popular dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Menurut beliau, bahkan dalam kalangan pengguna vape terdapat ‘kasta’ atau ‘geng’ berdasarkan kemampuan dan ‘standard’ vape yang digunakan.
Mohd Shazwan melihat rokok sebagai keperluan bagi penagihnya manakala vape lebih cenderung sebagai hobi terutamanya untuk koleksi ekoran pelbagai pilihan aksesori, berdasarkan kemampuan seseorang.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya terhadap pengguna vape, yang melepaskan ‘asap tebal’ di kawasan larangan merokok hanya atas alasan vape bukan asap tetapi wap.
“Apa pun sebabnya, jika tidak pernah merokok, kenapa nak mencuba vape atau shisha sedangkan ramai perokok yang ingin membuang tabiat itu? Ini ibarat, tak ada penyakit, saja cari penyakit.
“Orang yang tidak merokok atau vaping pun boleh kena kanser, jadi kenapa nak tinggikan risiko mendapat penyakit itu?” tegasnya. 
0 Komentar untuk "SEBARKAN!!! Vape Bukan Untuk Dicuba, Jangan Cari ‘Penyakit’"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info