Powered by Blogger.

SEDIH!! Takdir sekali bertemu

Jasin: “Tidak sangka pertemuan tadi (kelmarin) menjadi pertemuan pertama dan terakhir saya dengan cucu saudara selepas sejak dilahirkan kira-kira lima bulan lalu, kini dia pergi buat selamanya,” kata nenek saudara kepada Putra Mohd Arif Mohd Faris, yang terkorban bersama bapanya dalam kemalangan di Kilometer 29, Kampung Sebatu, Jalan Melaka-Muar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, bayi berusia lima bulan dan bapanya Mohd Faris Zainul Abidin, 28, maut manakala ibunya Khairunnisa Diana Zakaria, 25, parah apabila kereta Mazda yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan sebelum terjunam ke dalam parit.
Menurut Masri Puasa, 67, dia seperti tidak percaya dengan kejadian itu apabila tiga beranak itu terbabit kemalangan selepas tidak sampai satu jam mereka meninggalkan rumahnya untuk pulang ke Bangi, Selangor, sebelum diberitahu yang mereka terbabit dalam kemalangan maut kurang satu kilometer dari rumahnya.
Katanya, tiga beranak itu datang ke Melaka untuk menghadiri kenduri sepupu Khairunnisa di pekan Merlimau dan singgah beraya di rumahnya di Kampung Sebatu, kira-kira jam 3 petang.
“Sejak dilahirkan (Putra Mohd Arif), tadi (kelmarin) adalah kali pertama saya berjumpa dengannya malah kerana terlalu asyik melayan kerenahnya, membuatkan saya dan anak-anak terlupa untuk merakam gambarnya sedangkan sebelum ini, setiap kali bertemu keluarga baru, pasti berebut mengambil gambar kenangan.
“Mungkin sudah takdir saya berjumpanya hanya untuk sekali saja, namun berita kemalangan ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana berlaku dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Jasin, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, sebaik selesai solat Asar di rumahnya, Mohd Faris mengajak isterinya pulang sambil mengangkat beg serta mendukung anak.
“Saya rasa arwah (Mohd Faris) masih dalam keadaan berwuduk kerana selepas bersolat, dia terus bangun meminta diri untuk pulang ke Bangi kerana bekerja pada keesokan harinya (Ahad).
“Kami sekeluarga kini berada dalam situasi sukar kerana tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada Khairunnisa yang suami dan bayinya sudah tiada kerana risau akan menjejaskan keadaan kesihatannya,” katanya.

KEDUA-dua kereta mangsa yang terjunam ke dalam parit.

0 Komentar untuk "SEDIH!! Takdir sekali bertemu"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info