Powered by Blogger.

Beg galas untuk ayah

Bagan Serai: “Bapa ada menelefon saya Khamis lalu memaklumkan mahu meminjam beg galas untuk digunakan semasa kursus di Terengganu. Saya tidak menyangka ia permintaan terakhirnya sebelum bapa meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi (semalam),” kata Nurhanaa Izzah, anak kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kurau Ab Latiff Sulaiman yang meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 13, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, Ab Latiff, 56, yang menunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dirempuh dari belakang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Nurhanaa, 26, berkata, ketika Allahyarham bapa menghubungi pada pagi Khamis lalu, dia di Pulau Pinang mengikuti penggambaran sebuah produksi dan menyerahkan beg sebelum kembali semula ke Pulau Pinang.
“Saya pulang ke rumah untuk meminjamkan beg galas seperti yang ayah minta.
“Saya sangat sedih mengenangkan permintaan ayah untuk meminjam beg galas adalah yang terakhirnya sebelum pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata anak kedua daripada lima beradik itu yang ditemui semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sebuah lori membawa muatan taufu dari arah Kuala Kurau menghala ke Pasar Awam Bagan Serai merempuh motosikal ditunggang Ab Latiff.
Menurutnya, pemandu lori yang berasal dari Bukit Mertajam dipercayai mengantuk dan merempuh motosikal jenis Suzuki mangsa yang ketika itu berhenti di belakang sebuah van selepas lampu isyarat merah.

RAKAN mangsa tidak dapat menahan kesedihan di lokasi kejadian.
0 Komentar untuk "Beg galas untuk ayah"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info