Powered by Blogger.

‘Naluri tepat’

Jitra: “Saya tidak dapat melelapkan mata, malam tadi (kelmarin) kerana naluri kuat mengatakan mangsa yang lemas dalam sungai itu memang anak saya. Akhirnya pagi ini (semalam) mayat yang ditemui benar-benar anak saya yang hilang itu,” kata Ahmad Suhaimi Md Diah, 55.
Ahmad Suhaimi yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berkata dia berasa tidak sedap hati sebaik mengetahui kehilangan anaknya, Mohd Hamizi, 28, sejak tengah hari kelmarin sehinggalah mengetahui ada kes lemas di Sungai Baru berdekatan rumahnya.Katanya, dia setia menunggu operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak bomba sejak kelmarin bagi mengetahui identiti sebenar individu lemas yang dicari.
“Sepanjang hari semalam (kelmarin) saya tunggu, namun individu itu masih belum ditemui.

Justeru, sejak jam 7.30 pagi tadi (semalam) saya sudah keluar dan pergi ke lokasi kejadian bagi melihat perkembangan operasi pencarian.
“Akhirnya selepas lebih tiga jam operasi dan mayat individu itu ditemui.
Foto
SELIPAR milik mangsa yang terapung di lokasi kejadian.

Ketika itu saya sendiri melihat dan mengesahkan ia memang anak saya.

Hati cukup sebak ketika itu, namun saya perlu bersabar dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Ahmad Suhaimi berkata, anaknya yang juga seorang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah saraf itu dilahirkan kembar, namun pasangan kembarnya Ahmad Hamidan juga sudah meninggal dunia akibat tergelincir ke dalam sungai sama ketika banjir pada 2010.
Katanya, dia tidak sangka pemergian Mohd Hamizi kali ini turut berlaku di sungai sama dan ia secara tidak langsung memberi kesan mendalam bagi mereka sekeluarga.
“Memang saya sedih mengenangkan perkara ini apabila kedua-dua anak kembar saya meninggal dunia di tempat yang sama.

Namun, ia sudah ditentukan takdir dan kami menerimanya dengan tabah,” katanya.
Menurutnya, walaupun anak keduanya dilahirkan OKU, namun dia seorang anak yang baik dan taat kepada ibu bapa.
Katanya, dia juga tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang mahu dipanggil dengan nama ‘baru’ iaitu Mohd Akhir pada petang Selasa lalu membawa petanda dia akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
“Saya pelik sebab sebelum ini dia tidak pernah tidak suka apabila dipanggil Mohd Hamizi, tetapi petang itu apabila duduk berbual dengannya, dia meminta saya memanggil nama barunya berkali-kali dengan penuh bersemangat.
“Mungkin itu perubahan ditunjukkannya sebelum pergi, malah semalam (kelmarin) kali terakhir saya bertemu dengannya ketika menghantar mi goreng untuk sarapan pagi sebelum keluar bekerja dan menunjukkan perlakuan normal sebelum hilang pada tengah hari itu,” katanya.
0 Komentar untuk "‘Naluri tepat’"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info