SETIU: Seorang lagi mangsa kemalangan antara sebuah Volkwagen Golf dan Toyota Vios di kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dekat Kampung Bintang, Setiu jam 12.00 tengah hari semalam meninggal dunia, menjadikan jumlah yang maut seramai tiga orang.
Mangsa dikenali sebagai, Dr. Nik Rafizan Nik Muhamad, 28, berasal dari Jalan Telipot, Kota Bahru yang bertugas sebagai doktor gigi di Klinik Pergigian, Kampung Raja, Besut. Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios itu meninggal dunia kira-kira 2 jam kemudian ketika sedang diberikan rawatan di Hospital Daerah Setiu.
Manakala rakannya Dr. Nur Elina Abdullah, 25, yang berasal dari Kampung Masjid, Kota Bahru yang juga seorang doktor gigi di Klinik Kesihatan Pasir Akar, Hulu Besut, kini masih dirawat di Hospital Sutanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Dr Elina Abdullah, 25, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kerana patah tangan kiri akibat terbabit dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kampung Bintang, Setiu. FOTO Khairul Hamizy Ramlee.
Dalam kejadian semalam, dua rakan karib dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut yang menaiki kereta jenis Volkwagen Golf turut terbunuh.
Mereka dikenali sebagai Mohd Zuhairi Jusoh dan Nik Zul Ehsanudin Mohamad, kedua-duanya berumur 23 tahun maut di tempat kejadian.
0 Komentar untuk "Seorang lagi mangsa kemalangan meninggal dunia"