Petaling Jaya: "Saya tahu hukum hakam (mengenai anjing) namun pada hari berkenaan, semuanya berlaku di luar kawalan... sekali lagi saya mohon maaf kepada semua terutama umat Islam," kata penganjur program kontroversi 'Saya mahu sentuh anjing', Syed Azmi Alhabshi.
Menurutnya, program berkenaan diadakan bertujuan sebagai pembelajaran selain menghilangkan perasaan takut terhadap haiwan berkenaan.
"Ketika program ini diadakan saya dibantu 40 sukarelawan termasuk seorang ustaz dan kami sudah memberi penerangan serta penjelasan kepada peserta.
"Bagaimanapun, mereka yang hadir seramai 1,200 orang menyebabkan kami tidak dapat mengawal semuanya sehingga terjadinya perbuatan yang keterlaluan," katanya ketika hadir sebagai ahli panel pada forum Keterbukaan dan Sensitiviti Lazim-Di mana titik tengah di sini malam tadi.
Program anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein itu turut disertai seorang lagi ahli panel iaitu Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang juga Exco Pemuda UMNO.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin.
Sementara itu, Dr Fathul Bari ketika mengulas isu berkenaan berkata, menyentuh anjing dengan sengaja tanpa keperluan adalah haram.
Bagaimanapun katanya, hukum menyatakan anjing boleh dipelihara atas empat perkara iaitu menjaga haiwan ternakan, menjadi haiwan pemburu, menjaga tanaman serta sebagai anjing pengesan.
"Anjing tidak boleh dijadikan haiwan peliharaan namun harus sentuh jika ada keperluan seperti jika haiwan itu dilanggar kenderaan, kita boleh tarik untuk menyelamatkan anjing berkenaan selain faktor yang disebutkan tadi," katanya.
Beliau turut menasihatkan penganjur supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang serta menjaga sensitiviti masyarakat terutama umat Islam.
0 Komentar untuk "Penganjur program sentuh anjing mohon maaf kali kedua"