Powered by Blogger.

Buang mata rosak

Kehilangan mata, sama ada disebabkan oleh kemalangan jalan raya atau di tempat kerja, akibat penyakit seperti tumor atau okular peringkat akhir seperti glaukoma dan diabetes, boleh menjejaskan kehidupan pada mana-mana peringkat usia.
Namun, segelintir orang pula dilahirkan dengan kecacatan dalam mata seperti ketiadaan mata sejak lahir (anoftalmia), mata kecil yang tidak normal (mikroftalmia) atau tumor mata (retinoblastoma).
Tanpa penglihatan, ia boleh mengubah kehidupan berikutan individu yang kehilangan mata perlu belajar semula untuk melakukan banyak perkara. Ini kerana manusia mentafsirkan sehingga 80 peratus daripada tanggapan yang dibuat menerusi penglihatan.
Kesimpulannya, kehilangan mata akan menjejaskan kualiti hidup, mendatangkan kesan ketara terhadap imej, maruah dan keyakinan diri seseorang, terutama yang hilang sebelah mata.
Oleh itu, pelarasan perlu dibuat untuk menyesuaikan diri dengan penglihatan monokular iaitu buta sepenuhnya pada sebelah mata dan cuba hidup tanpa pengamatan kedalaman.
Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Sree Kumar Palani berkata, pemulihan kosmetik menerusi peralatan prostetik atau mata tiruan yang dibuat khas boleh memudahkan individu tanpa sebelah mata menyesuaikan diri secara profesional dan sosial serta memberi keselesaan fizikal dan kelegaan kepada pesakit.
Bagi menjaga kesejahteraan pesakit, sepasukan pakar penjagaan kesihatan akan berganding bahu untuk menyediakan penjagaan okuloplastik komprehensif, perkhidmatan kaunseling dan sokongan serta menggunakan khidmat kepakaran lain seperti neurologi apabila pesakit mengalami sindrom mata layu.
"Pakar bedah okuloplastik terlebih dulu perlu mengeluarkan mata yang rosak dan tidak boleh dipulihkan lagi.
"Ada dua kaedah pembedahan untuk mengeluarkan mata yang rosak, sama ada menerusi eviserasi iaitu yang memelihara tisu pada bahagian luar mata dan soket, atau penyahnukleusan iaitu seluruh biji mata dikeluarkan daripada soket mata.
"Kaedah pembedahan yang digunakan bergantung terutamanya kepada keadaan mata dan tahap kerosakan mata yang buta. Apabila mata yang buta dan cacat dikeluarkan, jisim biji mata digantikan dengan implan orbital untuk mengekalkan isi padu soket dan untuk penampilan luar yang lebih baik.
"Implan orbital dimasukkan ke dalam soket dan saiznya disesuaikan mengikut pesakit. Bagi kanak-kanak, implan orbital perlu dimasukkan kerana ini akan merangsang pertumbuhan orbit tulang dan muka. Tanpa implan dalam orbit, tumbesaran wajah kanak-kanak akan menjadi tidak simetri," katanya.
Menurutnya, pesakit perlu berehat empat hingga enam minggu untuk pulih dan menunggu bengkak berkurangan sebelum bertemu pakar okular yang akan membuat prostesis mata khas.
"Pakar okular memulakan proses ini dengan menentukan bentuk soket mata dan menyesuaikan kerangka plastik dengan bentuk itu. Proses ini tidak menyakitkan dan lazimnya mengambil masa kira-kira lima minit, tetapi pesakit mungkin rasa kurang selesa dari segi psikologi.
"Langkah seterusnya ialah melukis mata palsu itu dengan tangan supaya sepadan dengan mata yang sihat. Berbeza daripada tanggapan umum, mata palsu tidak berbentuk sfera seperti mata sebenar, tetapi berbentuk kerangka bujur yang dimuatkan di atas implan orbital.
"Selain membuat prostesis, pakar okular akan menunjukkan kepada pesakit cara mengendalikan dan menjaga prostesis serta menyediakan penjagaan jangka panjang menerusi pemeriksaan berkala.
"Mata tiruan diperbuat daripada plastik akrilik berkualiti yang serasi daripada segi biologi. Pakar okular akan terus bekerjasama dengan pakar bedah okuloplastik jika ada masalah dengan kelopak atau soket mata selepas memasukkan prostesis dan pembedahan pembetulan tambahan mungkin dibuat jika perlu," katanya.
Sree Kumar berkata, kebanyakan orang boleh menyesuaikan diri dengan mata tiruan dalam masa beberapa hari dan akhirnya ramai tidak lagi sedar mengenai kewujudan fizikalnya.
Prostetik okular didapati memberi keselesaan fizikal dan kelegaan kepada pesakit dengan masalah sindrom mata kering, fotofobia, trikiasis dan juga jika seluruh mata dikeluarkan.
Malah, implan okular dan prostesis sebenarnya mencegah pertumbuhan tisu untuk mengisi ruang berongga selepas mata asal dikeluarkan.
"Bagi kebanyakan pesakit, mata prostetik memang menjadi pilihan berbanding memakai balutan atau tampalan mata kerana penampilan luaran dengan mata berkenaan nyata kelihatan jauh lebih menarik.
"Mata prostetik yang mirip mata sebenar boleh memberi keselesaan fizikal dengan mengembalikan keseimbangan muka dan lebih penting lagi, mewujudkan kesan psikologi positif dengan memulihkan keyakinan diri.
"Ini memudahkan pesakit menyesuaikan diri secara sosial sambil meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Okular SunMed, Peter Knowles berkata, pakar okular perlu mendapatkan sejarah perubatan pesakit yang ingin memakai mata tiruan terlebih dulu bagi memahami lebih lanjut keadaan mata mereka seperti punca kehilangan mata itu.
"Ini langkah pertama bagi pesakit yang kehilangan sebelah mata mendapatkan mata tiruan sebelum pakar mendapatkan gambaran soket mata yang hilang itu.
"Gambaran soket mata diperoleh dengan menuang gel alginate ke dalam rongga mata yang kosong dan memasukkan bebola mata tiruan sebelum pakar memahat gambaran berdasarkan kontur soket mata dan konfigurasi kelopak mata pesakit.
"Kemudian acuan sementara dibuat berdasarkan gambaran tadi. Seterusnya, pakar mengambil ukuran iris dan pupil pesakit bagi memastikan mata tiruan itu sepadan dengan mata asal pesakit serta mewarnakan iris itu mengikut warna asal," katanya.
Knowles berkata, mata tiruan itu kemudian dimasukkan ke dalam soket mata pesakit sebagai percubaan bagi melaras bentuk dan memuatkan dalam rongga mata sebelum membuat acuan terakhir.
Iris yang diwarnakan dipasang pada mata tiruan dan acuan terakhir membabitkan bahagian putih pada bebola mata dibuat selepas melakukan pelarasan dan padanan. Pakar kemudian mewarnakan skleral pada mata tiruan iaitu bahagian putih pada bebola mata dilukis dengan urat darah untuk menjadikannya lebih realistik seperti mata asli.
"Langkah akhir adalah memasang mata buatan itu pada pesakit selepas lapisan kornea diawet dan proses menggilapnya dilakukan di makmal.
"Pesakit juga diajar cara menjaga mata tiruannya supaya ia dapat bertahan lama. Mata tiruan ini membantu ratusan pesakit untuk mengembalikan imej mereka dan pada masa sama memperbaiki tahap keyakinan diri," katanya.

0 Komentar untuk "Buang mata rosak"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info