Powered by Blogger.

Maut disangka tidur

Gombak: Seorang wanita ditemui maut dalam keadaan tersandar di kerusi pemandu di kawasan letak kereta Rehat dan Rawat Kundang, Lebuhraya LATAR di sini, pada 3.35 petang hari ini.
Keadaan wanita itu disedari pekerja pembersihan yang sangsi apabila mendapati mengsa masih tidak bergerak di dalam kereta itu selepas 30 minit.
Malah usaha untuk membantu mangsa gagal berikutan pintu kenderaan itu dalam keadaan berkunci.
Susulan itu pekerja terbabit bertindak menghubungi pihak polis serta bomba dan penyelamat bagi menyelamatkan mangsa.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang Aminuddin Derani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.44 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati cermin kereta di bahagian belakang kereta mangsa sudah dipecahkan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Namun beliau enggan mengulas punca kematian mangsa berusia 54 tahun sehingga laporan bedah siasat diperolehi.

MAYAT mangsa ditemui dalam keadaan tersandar.
0 Komentar untuk "Maut disangka tidur"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info