Powered by Blogger.

Sambut Deepavali atas tikar

Hulu Selangor: "Raya Deepavali tahun ini sangat sedih, kami hanya dapat sambut atas tikar di pusat pemindahan ini," kata Abraham Isacca, 44, seorang daripada penghuni Blok L, pangsapuri Teratai, yang terjejas akibat tanah runtuh, semalam.
Menurutnya, segala persiapan Deepavali termasuk kuih-muih dan pakaian raya terpaksa ditinggalkan di rumah selepas mereka diarahkan supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya.
Katanya, beberapa ahli keluarga yang datang dari jauh sempena perayaan ini juga terpaksa balik ke tempat mereka semula kerana tiada tempat tinggal untuk mereka.
"Ini adalah kejadian kali kedua selepas berlaku pemendapan tanah pada tahun 2009, tetapi tidak seteruk sekarang sehingga kami terpaksa dipindahkan.
"Kami penduduk di sini berharap supaya pihak berkuasa tempatan mempunyai perancangan untuk memastikan tiada lagi kejadian seperti ini berlaku dimasa hadapan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, mereka berharap supaya dapat kembali ke rumah mereka secepat mungkin kerana keadaan di pusat ini juga kurang selesa terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
Seorang lagi mangsa yang dipindahkan Anbarasan Kupusamy, 44, berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi rekahan kuat sebelum melihat bukit berhampiran rumahnya runtuh selain beberapa pokok tumbang.
Katanya, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka kejadian itu adalah biasa dan tidak menjejaskan kediaman mereka.
"Sejurus selepas itu, satu pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa supaya mereka meninggalkan rumah dan dihantar ke pusat pemindahan sementara ini.
"Saya terus membawa semua ahli keluarga saya keluar daripada rumah kerana risau dengan pengumuman itu dan bimbang kemungkinan rumah kami akan runtuh," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Normah Matnor, 38, berkata, selepas pengumuman dibuat, dia berasa cemas dan terus membawa keluar anaknya berusia enam tahun keluar daripada rumah.
Katanya, dia yang tinggal di pangsapuri berkenaan sejak 14 tahun lalu berharap ada penyelesaian yang boleh diambil untuk mengelakkan perkara sama berulang.
"Sekiranya perkara ini berterusan, saya risau untuk tinggal di rumah itu lagi. Kami sekeluarga bimbang keselamatan kami.
"Sehingga kini, kami masih belum diterangkan mengenai situasi terkini pemendapan dan tanah runtuh ini," ujarnya.
Menurutnya, dia tidak tahu sampai bila mereka perlu tinggal di pusat pemindahan ini yang jelasnya banyak kekurangan.
BEBERAPA pemaju dan anggota keselamatan meninjau kawasan tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
0 Komentar untuk "Sambut Deepavali atas tikar"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info