Powered by Blogger.

Si dia atau tidak?Gen-Y

Tak mudah untuk kita kenal sama ada si dia yang kita suka itu benar-benar jodoh kita. Kalau kamu tak mahu buang masa untuk terus mengharap, apa kata MURSHID EUNOS membantu kamu kenali beberapa petanda bagi mengenal adakah itu jodoh kamu ataupun tidak.
Sejak Gen Y memaparkan isu mengenai pasangan pilihan dan individu yang kita minat dari jauh, ramai pula kawan-kawan yang mengutarakan dilema yang acap kali melanda kebanyakan anak muda hari ini iaitu soal jodoh dan enggan menjadi 'syok sendiri'.
Kononnya remaja hari ini banyak yang berdepan masalah bertepuk sebelah tangan dan hanya sebelah pihak memikirkan soal untuk ke fasa lebih serius berbanding yang satu lagi hanya menganggap persahabatan itu kekal sebagai teman biasa.
Akhirnya akan ada pihak yang merana, kecewa dan lebih serius hingga derita. Itu yang sering kali berlaku terutama kepada golongan gadis yang mana lebih mudah jatuh cinta berbanding lelaki yang hanya gemar 'test market'.
Rasanya hampir semua yang berdepan situasi ini akhirnya mengambil keputusan menjauhkan diri dengan individu yang menolak cintanya kerana menyifatkan keadaan itu memalukan dan menjatuhkan maruahnya. Walaupun kedengaran seperti kronik, tapi itu realitinya.
Gen Y tak mahu kamu terus dibelenggu masalah sebegini atau membuang masa dengan mengharapkan sesuatu yang belum pasti. Justeru apa kata kamu semua yang terjerat dalam situasi ini untuk meneliti semua lapan petanda yang menunjukkan yang si dia benar-benar jodoh buat kamu.
Tanda 1- Sebenarnya rahsia untuk menjaga hubungan itu hingga kekal selama-lamanya adalah dengan adanya sikap saling kerjasama dan sifat bertolak ansur. Kamu dan dia selalu dapat membantu baik dalam urusan remeh mahupun besar.
Lebih penting adalah kamu berdua selalu dapat melalui segala aspek kehidupan secara bersama-sama dan tidak berlaku sebarang percanggahan pendapat hingga mengundang masalah lain. Bukan senang saja kamu dan si dia mudah berbincang sebaliknya ketika dalam situasi susah pun kamu berdua berjaya mengekalkan komunikasi dengan baik.
Semuanya terasa menyenangkan meskipun tanpa harus membabitkan orang lain. Kalau betul kamu sudah merasai perasaan ini, pernah berdepan dengan senario yang Gen Y katakan ini, memang si dia adalah pasangan hidup kamu paling sesuai.
Tanda 2- Adakah si dia 'control macho' atau 'cover anggun' setiap masa dengan kamu? Kalau seminggu pertama kenal ada sikap sebegitu tidak mengapa, tapi bagaimana gerak-gerinya selepas lebih setahun kamu bersama dengannya?
Salah satu kriteria penting bagi menunjukkan yang si dia adalah jodoh buat kamu apabila kamu dapat mengukur tahap hipokrasi atau bersahaja sikapnya dalam bercakap, bergurau dan gaya hariannya. Dapatkah kamu melihat sikap sebenarnya yang mungkin panas baran, pelupa, comot atau ketawa sekuat hati?
Kalau kamu sendiri pun keliru dengan sikapnya, itu bermaksud yang si dia bukanlah jodoh sesuai untuk kamu. Mungkin juga si dia pun tidak melihat kamu sebagai calon untuknya jadikan pasangan hidup.
Tanda 3-Jodoh kamu adalah insan yang sudah ditentukan untuk kamu sejak awal lagi. Justeru kalau betul si dia memang jodoh yang ditentukan untuk kamu, dengan sendirinya kamu akan ada rasa 'perhubungan' setiap kali bersamanya.
Adanya deria yang mampu membuat hati kamu berdua dapat selalu saling tahu dan faham tanpa perlu dijelaskan dengan kata-kata. Dan bila kamu atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaannya satu sama lainnya pada situasi tertentu.
Tanda 4- Bersamanya dapat membuat perasaan kamu menjadi tenang, selesa dan tanpa perasaan tertekan. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tanpa membuat kamu merasa bosan malah saat bersama itulah yang dijadikan sebagai satu rahsia untuk kamu melepaskan tekanan.
Ini petanda yang kamu berdua kelak akan saling terikat.
Tanda 5- Dia selalu ada untuk kamu dalam situasi apapun selain si dia selalu dapat memahami situasi dalam hati kamu baik dalam suka dan duka. Percayalah pasangan yang berjodoh pasti tak takut mengalami pasang dan surut, suka duka saat bersama.
Sekarang, ingat-ingat kembali. Apakah dia orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala kamu dirundung musibah? Dia selalu faham saat emosi kamu terganggu? Dia tahu keadaan waktu anda sakit? Jika ya, tak salah lagi. Dialah orangnya.
Tanda 6- Dia tak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga kamu, dia tak peduli dengan masa lalu kamu saat bersama kekasih terdahulu. Dia juga tak malu-malu menceritakan masa lalunya. Si dia lebih terbuka dan menerima setiap satu kelebihan dan kekurangan kamu tanpa seinci pun meletak andaian.
Jangan pula sikap terbukanya itu membuatkan kamu pula yang sensitif dan cemburu.
Tanda 7- Setiap orang pasti memiliki kekurangan dan kamu tak malu akan kelemahan itu pada si dia. Bahkan pada saat kamu tampil 'buruk' di depannya sekalipun, contohnya saat kamu bangun tidur atau saat kamu sakit dan tak mandi selama dua hari pun, si dia tak sekali mengutuk atau memberi reaksi negatif kepada kamu.
Itu sudah cukup mencerminkan yang si dia menerima kamu seadanya.
Tanda 8- Bila merasa rahsia kamu boleh lebih selamat di tangannya daripada di tangan sahabat-sahabat kamu yang lain. Kamu lebih selesa dan percaya dengannya. Itu sudah membuktikan yang dia memang jodoh kamu.

0 Komentar untuk "Si dia atau tidak?Gen-Y"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info