Powered by Blogger.

Cinta tak bersatu

Pasir Gudang: Sepasang tunang tidak sempat meniti hari bahagia bersama apabila mereka bersama tiga yang lain maut selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kilometer 33 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam.
M Surendran, 23, dan tunangnya J Priyadarshini, 22, dijadual melangsungkan perkahwinan mereka selewat-lewatnya awal tahun depan.

Kejadian jam 1.30 tengah hari itu turut menyebabkan adik Priyadarshini yang juga pemandu kereta Tamilharasan, 17; K Udayakumar, 14, dan seorang lagi dikenali sebagai Vicky, 17, maut ketika mereka dikatakan dalam perjalanan ke Senai selepas mengambil Udayakumar di Pasir Putih, di sini.Rakan Surendran, K Jeevah, 24, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa rakannya itu selain bersedih berikutan mendiang pernah menyatakan hasrat untuk melangsungkan perkahwinan.

“Surendran bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura manakala tunangnya tidak bekerja dan saya mendapat tahu mengenai kejadian ini apabila diberitahu abang Surendran dikenali sebagai Chandra pada 3.30 petang.

“Saya terkejut dan sedih dengan kejadian ini lebih-lebih lagi ketika kali terakhir bertemunya tujuh bulan lalu dia pernah menyatakan hasrat mendirikan rumah tangga selain sudah mendaftarkan untuk berkahwin,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.
Foto
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
Jeevah berkata, semua mangsa yang terbunuh kecuali Priyadarshini adalah pemain gendang tradisional masyarakat India dikenali sebagai Urumi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kereta Proton Saga yang dipandu Tamilharasan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh pokok.
“Kemalangan terbabit menyebabkan semua yang menaiki kereta itu maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.

“Mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat,” katanya.

Usaha wartawan untuk mendapatkan komen ahli keluarga mangsa gagal berikutan mereka masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang berlaku.
0 Komentar untuk "Cinta tak bersatu"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info