Powered by Blogger.

Ajal rakam gambar

Shah Alam: Kegembiraan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, yang sedang merakam gambar bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di kawasan kampusnya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Fatin Farah Farradia Yusof, 20, maut selepas mengalami kecederaan dalaman.Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri kuliah bersama dua lagi rakannya sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah wanita berusia 54 tahun.

Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dari bukit pada ketinggian kira-kira lima meter.
Foto
FATIN alami pendarahan dalaman.

Mangsa adalah penuntut Diploma Sains Sukan dan Rekreasi tahun kedua dan berasal daripada Dungun, Terengganu.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, mangsa dikatakan sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kereta menyebabkan mangsa tercampak.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mengalami pendarahan dalaman kira-kira jam 7.30 malam.

“Pensyarah yang merempuh mangsa dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian sehingga menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

“Pensyarah terbabit kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk mendapat pemantauan doktor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, semalam.

Jenazah Fatin akan dibawa ke kampung halamannya di Dungun untuk dikebumikan sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

0 Komentar untuk "Ajal rakam gambar"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info