BEIJING: Aktres China Bai Jing dibunuh suaminya ekoran satu pertengkaran yang berlaku Selasa lalu di kediaman mereka di daerah Chaoyang di bandar raya ini.
Suaminya, Zhou Chenghai, 44, menikam Bai Jing sebelum membunuh diri, lapor media China.
Aktres berusia 29 tahun itu telah membintangi filem “Kung Fu Wing Chun”, “Three Kingdoms: Resurrection of the Dragon“ dan puluhan filem lagi, siri televisyen seperti “Legend of Xiangxi”, selain drama kanak-kanak dan rancangan muzikal. Dia dipuji sebagai pengganti kepada Michelle Yeoh dan hingga kini adalah bintang kung-fu wanita China paling terkenal.Berita kematiannya dihebah kali pertama kira-kira jam 3 petang di Sina Weibo - Twitter versi China oleh pengurus besar agensi hiburannya, Ju Chunlei.
Ju berkata, pembunuhan dan bunuh diri itu berlaku ekoran pertengkaran yang sudah lama tercetus antara pasangan itu dan kematian ibu Zhou pada 31 Januari lalu menjadi punca terakhir dalam hubungan bermasalah antara kedua-duanya.
Ju enggan memberikan maklumat lanjut tetapi menurut akhbar China, Legal Evening News, Zhou bersemuka dengan Bai selepas menerima tuntutan perceraian pagi Selasa lalu.
Petisyen perceraian itu menyatakan Bai tidak tahu mengenai perkahwinan terdahulu Zhou dan anak lelaki yang dimiliki serta menuduhnya berlaku curang.
Zhou dikatakan seorang bilionair yang memperoleh kekayaan daripada pasaran saham dan hartanah. Dia juga mempunyai seorang anak lelaki daripada perkahwinan dengan isteri pertama yang diceraikannya untuk bersama Bai. Laporan berita menyatakan Zhou melaburkan sejumlah besar wang dalam karier lakonan Bai dan mereka akhirnya berkahwin pada Oktober 2010.
Awal tahun ini, satu sumber mendakwa Bai bersubahat dengan teman lelakinya dalam plot untuk mencuri 20 juta yuan (RM9.5 juta) daripada Zhou dan mengupah pelacur untuk menggodanya supaya aktres itu dapat menuntut cerai dan memperoleh lebih banyak wang.
Khabar angin mendakwa ibu Zhou “mati akibat berang” awal tahun ini selepas mendapat tahu mengenai hal itu.
Pengarah Zhang Tongzhu yang pernah bekerja dengan Bai berkata, khabar angin itu tidak benar. Dalam fikiran saya, Bai seorang perempuan yang lurus dan rajin bekerja,” katanya.
0 Komentar untuk "Bai Jing mati dibunuh suami"