Powered by Blogger.

Episod duka tudung hijau

Melaka: Hasrat seorang peniaga apam balik melangsungkan pertunangan hujung minggu ini tidak kesampaian apabila dia maut manakala kekasihnya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Krubong di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Nur Syazwani Salleh, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas digilis lori dipandu lelaki berusia 46 tahun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli tudung untuk dipakai pada majlis berkenaan, Ahad ini.
Difahamkan, ketika kejadian, Nur Syazwani yang membonceng Yamaha 125Z ditunggang Muhammad Faiz Md Isa, 19, dalam perjalanan ke Sungai Udang dari arah lampu isyarat Lebuh SPA Batu Berendam ke Lebuh SPA Krubong.
Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi, sebuah lori dari arah sama cuba membelok ke kiri dan dipercayai menghimpit motosikal itu yang berada di laluan kiri sehingga berlaku pergeseran serta mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh.
“Tayar belakang lori menggilis mangsa menyebabkan dia maut di lokasi manakala penunggang motosikal parah di kaki kanan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Zarina Mohamed, 43, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak sulung daripada empat beradik itu selepas panggilannya ke telefon bimbit arwah dijawab seorang wanita dan memaklumkan tragedi.
“Pada pagi kejadian arwah keluar ke rumah untuk berniaga dengan memandu Proton Saga, namun selepas sampai di gerai dia menggunakan motosikal adiknya, Muhammad Syafiq, 14, dipercayai mahu bertemu bakal tunang.
“Muhammad Syafiq pulang ke rumah dengan berjalan kaki kira-kira jam 4.30 petang memaklumkan Nur Syazwani tidak menjawab panggilan telefonnya sebelum saya cuba menghubungi dan panggilan kali kedua dijawab seorang wanita memaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Faiz dalam perjalanan ke rumahnya selepas membeli tudung untuk dipakai pada majlis pertunangan Ahad ini.
“Muhammad Faiz memaklumkan arwah sempat membeli tudung berwarna hijau di sebuah pasar raya di Ayer Keroh untuk dipakai pada majlis berkenaan.Walaupun terkejut dan sedih dengan kejadian, saya serta keluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Foto
JENAZAH mangsa di lokasi kemalangan petang kelmarin.
0 Komentar untuk "Episod duka tudung hijau"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info