Powered by Blogger.

Diet pelik untuk kurus

Ada individu yang sanggup melakukan apa saja untuk kelihatan menarik. Untuk mendapatkan tubuh badan langsing misalnya, ada juga yang sanggup mengamalkan diet gila dan pelik.
Walaupun kebanyakan amalan diet untuk kurus ini tidak diiktiraf oleh badan perubatan kerana memudaratkan kesihatan, ia tetap diamalkan untuk mencapai impian memiliki bentuk badan idaman. Jika anda rasakan mereka yang mengalami bulimia memuntahkan semula makanan untuk kurus itu sesuatu yang tidak masuk akal, mungkin anda rasa lebih pelik dengan beberapa kaedah diet ekstrem ini. 

Foto
CACING pita yang hidup di dalam perut manusia.
Telan cacing pita 
Kaedah diet menggunakan cacing pita wujud sejak era 1920-an di dunia Barat. Cacing pita sejenis parasit yang tinggal di dalam usus binatang seperti anjing, kuda dan kucing termasuk sesetengah individu yang memilikinya secara tidak sengaja. 

Parasit ini boleh mencapai kepanjangan hampir 20 kaki dan berbentuk leper seperti reben atau pita. 

Ia digunakan di Amerika Syarikat dan Eropah secara meluas pada abad ke-20 kerana dipercayai membantu usaha untuk kurus. Cacing pita dikatakan menghadam kan nutrisi, lemak dan gula berlebihan dalam perut sebelum diserap oleh tubuh. 

Caranya, mereka yang ingin membela cacing pita perlu memakan daging yang tercemar dan mempunyai anak cacing itu atau memakan pil yang mengandungi telur cacing dan ia membesar di dalam perut. 

Selepas sekian waktu, cacing itu keluar sendiri atau individu terbabit harus memakan pil untuk membunuhnya dan ia dikeluarkan melalui dubur. 

Namun, pakar perubatan menganggap cara itu sebagai mengarut, sekali gus tidak mengiktirafnya dalam bidang perubatan. 

Penyanyi opera tersohor Maria Callas dari New York didakwa mengamalkan diet ini pada 1950-an dan kehilangan hampir 30 kilogram. 

Pelumba kuda pada zaman itu pula dikatakan mengamalkan diet ini untuk terus kekal kurus dan ringan supaya muat memakai pakaian seragam mereka yang sendat dan ringan. 


Ketip perut 

Kaedah mengetip atau mengikat organ perut adalah satu pembedahan apabila perut diketip menjadi dua bahagian. 

Bahagian atas perut yang dijadikan lebih kecil akan berfungsi sebagai perut utama. Ia dilakukan untuk mengehadkan jumlah makanan yang boleh diambil individu. 

Selepas perut diketip, seseorang itu hanya boleh makan tiga perempat atau satu cawan penuh pada satu masa. Makanan perlulah dikunyah sehingga lumat. Jika muntah dan pening selepas makan, ia menunjukkan seseorang itu terlebih mengambil makanan. 

Ia antara kaedah diet ekstrem yang diiktiraf secara perubatan di beberapa negara dan dijadikan alternatif untuk mereka yang mengalami masalah obesiti melampau. 


Diet bakteria 

Tidak cukup dengan cacing, ada antara individu yang menjamah makanan yang penuh dengan bakteria untuk kurus. 

Teorinya, makanan yang penuh dengan serat diperam atau ditapai dalam satu jangka masa tertentu menghasilkan bakteria baik yang dapat membantu penghadaman makanan dalam perut. 

Bintang Hollywood Madonna dikatakan mengamalkan kaedah diet ini. Tukang masak khas selebriti itu memastikan makanan yang diambil Madonna mengandungi banyak bakteria baik. 


Pil uri 

Diet memakan uri atau plasenta diamalkan di China sejak berkurun dulu. Ia dikatakan mempunyai nutirisi yang bagus, apatah lagi dianggap penyambung nyawa pada bayi dalam kandungan daripada ibu. 

Terdapat individu yang mengupah pembuat makanan bebas memproses uri mereka untuk dijadikan pil uri yang mereka amalkan bertujuan menguruskan badan. 

Pelakon Amerika Syarikat, January Jones mengaku mengamalkan diet ini untuk mengelak daripada gemuk selepas bersalin dan mendapatkan kulit cantik. 


Sumbat tiub 

Satu lagi kaedah ekstrem yang kini diamalkan sesetengah individu untuk kurus dengan segera dengan menyumbat tiub dalam badan. 

Tiub disumbat dari lubang hidung ke saluran pernafasan hingga sampai ke perut dan ia dikekalkan di dalam badan. 

Selama 10 hari, mereka tidak dibenarkan makan sama sekali. Minuman dengan rumusan tinggi protein dan rendah karbohidrat dimasukkan melalui tiub. Ia mengandungi 800 kalori saja setiap hari. Ia sebenarnya teknik yang diilhamkan daripada cara pesakit yang tidak dapat menelan makanan mereka. 

Ia dikatakan jalan pintas buat bakal pengantin di Eropah dan Amerika Syarikat untuk nampak kurus pada hari perkahwinan mereka. 


Telan bebola kapas 

Pakar diet dari New York Dr David Edelson berkata, sesetengah peragawati dan penari bertindak menelan bebola kapas untuk berasa kenyang dan tidak mahu makan. 

Namun, kapas tidak boleh dihadam dan ia jelas memberi masalah kepada sistem penghadaman dalam jangka panjang. 

Ia dianggap individu yang mengamalkannya seperti makanan yang penuh serat. 


Makan sampah 

Ada juga yang bertindak hanya memakan makanan lebihan daripada rakan atau sekeliling supaya dia tidak makan berlebihan. Ia dipanggil diet Freegan yang bermula di San Francisco, Amerika Syarikat. 

Mereka menanam motivasi hanya makan makanan bukan daging yang boleh didapati percuma di sekeliling mereka kerana ia tentunya tidak banyak. 

Segelintir pengamal diet ini bertindak lebih ekstrem dengan memunggah tong sampah dan memakan tumbuhan yang selamat tumbuh di sekeliling mereka sehingga ada yang menganggap mereka seolah-olah memakan sampah.

0 Komentar untuk "Diet pelik untuk kurus"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info