Powered by Blogger.

Gen Y- Makanan melemahkan badan

Makanan adalah suatu keperluan harian yang harus dipenuhi. Tanpa makanan, mana mungkin kita dapat hidup. Kini, terdapat pula kes di mana makanan yang diambil boleh menjadikan kita kurang produktif. Istilah ini bermaksud anda menjadi kurang bermaya, mudah mengantuk dan kurang peka. Bagi generasi muda yang bekerja di pejabat, pastinya kesan itu lebih nyata dalam memberikan impak negatif pada prestasi kerja anda. Punca utama mengapa remaja kini kurang peka dalam pengambilan makanan ialah tiada percaturan yang teliti ketika memilih jenis makanan yang seimbang. Lagipun, asalkan perut kenyang sudahpun memadai.
Tidak bermaya-Menyingkap kembali kehidupan zaman dulu, orang tua sering menyarankan kita makan lebih banyak daripadabiasa kalau nak jadi kuat dan bertenaga. Tapi itu lebih merujuk kepada pekerjaan yang membabitkan penggunaan tenaga yang banyak seperti membanting tulang di sawah, kebun atau mengerah keringat sebagai buruh.

Namun, lain pula sekarang di kota terutamanya, remaja lebih gemar pekerjaan yang santai di pejabat. Justeru, ungkapan puluhan tahun dulu itu tidak lagi praktikal masa kini. Dengan pengambilan kuantiti nasi yang banyak, itu sebenarnya menjadikan kita lebih mengantuk.
Foto

Buktinya, makanan seperti nasi tergolong dalam karbohidrat dengan sifat ‘glycemic’ tinggi yang bermaksud makanan mudah hadam. Ia merangsang pengeluaran hormon serotonin iaitu hormon yang meningkatkan rasa mengantuk. Pengambilan nasi yang banyak mempercepatkan lagi proses ini.

Untuk pengetahuan, makanan yang berlemak memerlukan masa yang lama untuk hadam dalam perut. Justeru, sistem pencernaan memerlukan lebih banyak komposisi darah untuk memastikan proses penghadaman lemak berfungsi dengan baik. Makanan yang mengandungi keju, cip kentang dan nasi lemak menyebabkan badan menjadi lemah dan tidak bermaya kerana proses penghadamannya lebih lama daripada biasa.


Bahaya minuman tenaga

Bagi anda yang gemar bersenam, pasti kerap kali mengambil minuman tenaga untuk meningkatkan stamina. Bagaimanapun realitinya, kebanyakan minuman tenaga mengandungi kandungan gula yang tinggi. Justeru, pengambilan gula yang berlebihan daripada kadar diperlukan adalah suatu tindakan merugikan diri sendiri. Ini kerana apabila paras gula dalam darah meningkat, paras insulin juga akan turut meningkat.

Langkah ini juga menyebabkan hormon serotonin dihasilkan dengan kadar lebih cepat daripada biasa seterusnya mengakibatkan rasa mengantuk. Mengambil terlalu banyak minuman tenaga bukan menjadikan kita lebih cergas sebaliknya kita mudah lesu dan mengantuk.


Tip atasi masalah

Cara yang paling berkesan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengamalkan pengambilan nasi dalam kuantiti sedikit dan dicampur dengan lauk-pauk yang lain serta sayuran. Pemakanan yang seimbang bukan saja mencukupkan kehendak kalori harian tapi juga tidak memberikan kesan sampingan negatif yang boleh menjejaskan prestasi kerja seperti rasa mengantuk.

Bukan itu saja, anda juga perlu bijak mengambil sarapan harian yang mengandungi serat penting tapi pada masa sama, elakkan makanan yang mengandungi lemak. Jika sebelum ini gemar mengambil nasi lemak pada sebelah pagi, apa kata gantikan ia dengan sandwich segera. Bukan saja mudah disediakan tapi juga menyelamatkan anda daripada risiko rasa mengantuk dan tidak bermaya di pejabat.

Banyakkan minum air kosong yang boleh membantu sistem penghadaman untuk berfungsi dengan lebih baik. Jika gemarkan snek sekalipun, elakkan mengambil snek jenis cip dengan kadar berlebihan. Jika mampu, gantikan snek dengan biskut coklat ataupun oat yang mengandungi kandungan lemak yang rendah.
0 Komentar untuk "Gen Y- Makanan melemahkan badan"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info