Powered by Blogger.

Gen Y-Jangan terlalu kurus

Lelaki yang aktif sukan sudah tentu memilik bentuk peha yang besar. Belum lagi mereka yang memang berbadan besar. Seluar jeans jenis ‘skinny’ tidak sesuai untuk digayakan. Namun, ada pula yang sanggup berdiet semata-mata ingin memilik tubuh kurus dan kaki melidi. MURSHID EUNOS kongsi antara keburukan dan penyakit jika kamu terlalu obses untuk menjadi kurus.
Bagi lelaki, jika kamu berdepan dengan indeks jisim badan atau BMI kurang daripada 18.5, ada beberapa perkara yang perlu kamu tahu kerana kurus tahap melampau boleh mengundang pelbagai penyakit. Itu adalah bacaan yang serius untuk kamu kerana terlalu kurus untuk menampung bentuk badan dan tulang kamu.
Berat tubuh badan yang ideal perlulah memiliki BMI di antara 20 hingga 25. Setiap lelaki sudah diberikan BMI ideal dan bersesuaian bagi mengimbangi keseluruhan keperluan bentuk tubuh kamu baik dari aspek ketinggian serta berat badan.

Jangan ingat penyakit diabetes dan penyakit jantung hanya mudah menyerang orang gemuk. Mungkin kerana terlalu banyak pendedahan mengenai keburukan mereka yang berbadan besar dengan pelbagai penyakit, jadi ramai terlepas pandang akan bahaya mereka yang bertubuh kecil.

Hakikatnya, orang yang berbadan kurus lebih cenderung kurang sihat apabila mereka merasakan tidak mempunyai masalah jika tidak perlu bersenam dan mengambil makanan segera. Ini adalah realiti yang mungkin ramai tidak pernah tahu.

Orang gemuk dilihat lebih ketara lemak yang membonjol terutama perut berbanding lemak orang kurus. Tapi harus diingat, lemak orang kurus ‘melekat’ pada jantung atau hati. Tidak jelas pada pandangan kasar, tapi orang yang kurus juga mempunyai lemak tersembunyi.

Kebanyakan orang kurus kerap merasa letih sepanjang masa. Kekurangan tenaga adalah simptom awal penyakit anemia atau kurang darah. Mudah semput, kerap sakit kepala dan pening kepala juga petanda penyakit anemia. Elak beranggapan orang kurus tidak perlu bertemu doktor kerana anda sebenarnya memerlukan nasihat mengenai cara pengambilan makanan.

Terlalu kurus juga boleh menjadi punca kamu menjadi seorang yang kurang subur. Lelaki yang terlalu kurus dikatakan berisiko 22 peratus berdepan masalah seksual seperti tidak berupaya untuk ejakulasi, sakit ketika mengadakan hubungan seks dan masalah erektil.

Ramai orang lebih risau akan lemak pada badan, tapi kurang tahu akan kepadatan tulang. Tubuh yang terlalu kurus boleh menyebabkan diserang osteoporosis dan tulang rapuh. Jika kamu tidak mempunyai sebarang lemak, lemak tidak mungkin dapat berubah menghasilkan estrogen. Tanpa estrogen yang mencukupi, tulang mudah rapuh.

Justeru janganlah kerana ingin kelihatan menarik dengan menyarungkan ‘skinny jeans’ kamu sanggup mengabaikan fakta mengenai bahayanya jika kamu terlalu kurus. Kurus tak mengapa, tapi janganlah makin nak nampak kurus hingga mengundang bahaya dan penyakit.
0 Komentar untuk "Gen Y-Jangan terlalu kurus"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info