Nilai: Seorang pengurus mayat terbunuh selepas kereta dipandunya melanggar pembahagi lebuh raya dan melambung ke laluan bertentangan di Kilometer 271.4 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, pagi semalam.
Kejadian jam 7 pagi itu mengakibatkan Bong Kwee Woon, 31, dari Jalan Temiang, dekat sini, parah di kepala dan maut di tempat kejadian.
Menurut sumber, Bong memandu Toyota Camry dari arah utara menghala ke Seremban dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dia dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya.
Katanya, kereta itu kemudian melambung ke lorong bertentangan dan dipercayai dilanggar dua kereta lain serta terbalik.
“Akibatnya mangsa tersepit dan mati di tempat kejadian.Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya di sini, semalam.
Sumber berkata, pemandu dua lagi kenderaan tidak cedera dan membuat laporan di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan enam anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau balai polis berhampiran.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut punca kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
KERETA dipandu Bong remuk teruk akibat nahas, semalam.
0 Komentar untuk "Pengurus mayat melambung"