Powered by Blogger.

Pondan malang

Butterworth: Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat manakala kepalanya ditutup dengan plastik selain beberapa kesan kelar pada anggota badan di rumah sewanya dekat Taman Pantai Bersih, di sini, semalam.
Mangsa dipercayai bergelut dengan lebih seorang lelaki sebelum dibunuh sekitar jam 12 tengah malam kelmarin, namun mayatnya hanya ditemui orang awam jam 9 pagi semalam.

Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai penemuan mayat jam 9.30 pagi bergegas ke tempat berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat mayat seorang lelaki dalam sebuah bilik di tingkat empat flat terbabit.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh berkata, pintu rumah mangsa tidak berkunci dan anggota polis yang membuat pemeriksaan menemui mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan kecederaan dalam sebuah bilik.

Katanya, polis percaya lebih daripada seorang suspek terbabit dan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum mangsa dibunuh dengan senjata tajam selain kepalanya ditutup dengan plastik.

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12 tengah malam kerana beberapa jiran mendakwa terdengar bunyi bising, tetapi tidak menyangka berlaku kejadian jenayah dalam rumah mangsa.
Foto
ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa dari rumahnya di Taman Pantai Bersih.
“Bagaimanapun, tiada senjata tajam ditemui dalam rumah mangsa,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai S Athiswaran, 31, berbadan gempal dan menyewa di flat berkenaan bersendirian sejak dua tahun lalu dan mempunyai beberapa rakan berperwatakan wanita.
Mohd Nasir berkata, kemungkinan mangsa mengenali suspek dan dipercayai berlaku pertengkaran dalam rumah berkenaan sebelum dia dibunuh.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi orang bergaduh sekitar jam 12.30 tengah malam, tetapi tidak mengendahkannya kerana memang ada pasangan sering bergaduh di flat berkenaan.

“Saya tidak tahu berlaku kejadian jenayah di rumah bersebelahan. Saya hanya tahu mangsa mati akibat dibunuh jam 11 pagi ketika polis mengetuk pintu rumah untuk menjalankan siasatan,” katanya.
0 Komentar untuk "Pondan malang"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info