Powered by Blogger.

Rendam ayam dalam air darah

Selayang: Cara penyembelihan dan pemprosesan ayam di lima premis Pasar Borong Selayang kemungkinan haram dimakan kerana didapati tidak mengikut hukum syarak.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak, Afida Zainudin berkata, hukum sah sembelihan haiwan termasuk ayam bukan saja dinilai dari aspek cara ia dipotong (disembelih), tetapi turut membabitkan keseluruhan proses tersebut.

“Ketika serbuan dilakukan, kerja penyembelihan ayam di sini sudah selesai dilakukan dan mereka dalam proses pembersihan dan pembungkusan.“Malangnya berdasarkan pemeriksaan, pemilik premis gagal mematuhi aspek kebersihan seperti ayam (yang sudah diproses) diletakkan di atas lantai dan ada yang direndam dalam air darah yang banyak.

“Ini menyebabkan ayam itu tidak boleh dimakan bagi orang Islam kerana cara pemprosesan itu tidak menepati hukum syarak,” katanya kepada media ketika Operasi Potong Ayam, di sini, awal pagi semalam.

Justeru, dua kad tauliah milik dua orang penyembelih ayam di premis berkenaan ditahan serta-merta manakala seorang lagi gagal menunjukkan kad tauliah penyembelihan.
Foto
PEGAWAI penguat kuasa meneliti ayam yang disembelih.
“Tahanan kad tersebut diambil kerana penyembelih terbabit sudah diberi pendedahan untuk menitikberatkan kebersihan ketika kursus di pejabat agama dan mereka sepatutnya arif mengenainya serta mempraktikkan,” katanya.

Selain PAID, operasi bersepadu yang diketuai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut membabitkan lapan orang pegawai imigresen menjadikan jumlah keseluruhan anggota yang terbabit dalam operasi terbabit seramai 56 orang.
Pengarah Penguat Kuasa dan Keselamatan MPS merangkap ketua operasi, Azmi Ismail berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas tujuh premis seawal jam 3.30 pagi semalam selepas mendapat aduan awam mengenai keraguan dalam penyembelihan ayam.

“Bagaimanapun dari tujuh premis, lima didapati melakukan pelbagai kesalahan menyebabkan sepuluh kompaun bernilai RM10,000 dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang dilakukan meletakkan bahan mentah di atas lantai (tanpa alas).

“Selain itu, tiga lesen perniagaan dirampas kerana meletakkan sampah-sarap di atas jalan awam,” katanya.

0 Komentar untuk "Rendam ayam dalam air darah"

 
Copyright © 2014 BERITASENSASI - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info